Iklan

Jumaat, 24 Januari 2014

Forbidden Love - Part 2

Bab 2

"Eh, Abang Mizi!" Aku terkejut melihat abang Tarmizi berada di dalam bilikku. Yang membuatkan aku menjadi tak keruan lagi adalah dia tidak memakai baju. 

"Fi... Fi tinggal di bilik ni ke?" tanya abang Tarmizi yang juga terkejut melihat aku di muka pintu. 

"Ya, Fi dapat bilik ni." jawabku pendek sambil menuju ke arah katilku. Aku menepuk-nepuk bantal dan membetulkan cadar 'Pokemon' milikku. 

"Masa abang masuk bilik tadi, abang tengok ada cadar 'Pokemon' terus teringat kat Fi. Rupa-rupanya memang Fi pun." gelak abang Tarmizi perlahan. Abang Tarmizi teringatkan aku? Tak sangka abang Tarmizi masih ingat dengan keobsesan aku terhadap Pokemon sejak dari zaman sekolah lagi. 

Aku hanya mampu tersenyum. Diam kerana tidak tahu apa yang ingin dikatakan kepada abang Tarmizi. Sesekali mata aku sempat menjeling kepada tubuh abang Tarmizi yang tidak dilitupi seurat benang pun. Mujurlah abang Tarmizi masih lagi memakai seluar panjang. Aku mengambil bakul kecil yang mengandungi berus gigi dan pelbagai lagi 'toiletries' yang lain.

Dalam perjalanan ke bilik mandi, otak aku penuh dengan pelbagai reaksi. Ada gembira, bimbang, takut, teruja dan macam-macam lagi yang bermain di benak fikiran aku sehingga aku hampir terlanggar seseorang. Aku mendongak kepalaku. Si sombong berada di muka pintu bilik mandi dengan hanya memakai tuala.

xxx

Aku selesai memberus gigi dan mencuci muka. Teringat dengan apa yang berlaku antara aku dan si sombong sebentar tadi. Si sombong hanya berlalu tanpa sebarang kata. Aku sedikit tergamam melihat tubuh si sombong yang begitu tegap dan sasa. Tetapi abang Tarmizi masih lagi menduduki carta pertama dalam hati aku. 

Aku menuju ke arah bilik. Lampu sudah padam. Abang Tarmizi pun sudah baring di atas katilnya. Esok akan bermula sesi orientasi secara rasmi. Aku cuba untuk tidur tetapi hatiku berdebar-debar memikirkan abang Tarmizi yang berada di katil sebelah. Aku akan menghabiskan satu semester bersama abang Tarmizi. Hatiku hanya mampu tersenyum riang. 

xxx

Hari pertama orientasi berjalan dengan lancar. Tiada apa yang menarik. Cuma beberapa ceramah dan juga sesi untuk para senior berkenalan dengan lebih rapat dengan junior. Aku banyak menghabiskan masa bersama Razi dan Khairul Amin. Walaupun aku kadang-kadang tidak faham apa yang dibicarakan oleh mereka, aku sedar aku memerlukan mereka kerana mereka akan menjadi teman sekuliahku sepanjang empat tahun di sini nanti. 

Kami bertiga menuju ke dewan makan. Aku melihat sekeliling. Cuba mencari abang Tarmizi. Dia bersama dengan rakan-rakannya sedang makan di salah satu meja makan. Razi memanggil seseorang. 

"Zain!!!" panggil Razi kepada rakannya. Aku melihat ke arah orang yang dipanggil oleh Razi itu. Si sombong rupanya. Si sombong atau Zain menuju ke arah meja kami sambil membawa 'tray' makanannya. 

"Thank you, Bro. Dah berpeluh aku cari tempat duduk." Zain duduk di sebelah aku. 

"Firdaus, ni Zain. Dia pun ambil jurusan perakaunan juga." beritahu Razi. Aku hanya menunduk kepala kepada Zain. Razi, Khairul Amin dan si sombong rancak berbual sambil menyuap nasi masing-masing. Aku bangun. 

"Razi, Amin, aku balik bilik dulu ya. Letihlah. Malam ni ada ceramah lagi." Aku hanya mengangguk kepala kepada Zain. 

"Okay. Jumpa malam ni." balas Razi. Aku sedar Zain tidak memberi apa-apa reaksi pun pada aku. Aku berlalu pergi. 

xxx

Ceramah baru sahaja berakhir. Aku berjalan bersama Razi, Khairul Amin dan Zain menuju ke arah kolej kami. Razi & Khairul Amin tinggal di blok A. Manakala aku dan Zain tinggal di blok B. 

"Okay. Jumpa esok. Good night." Razi dan Khairul Amin masuk ke dalam blok mereka. Blok B terletak agak jauh sikit. Aku dan Zain hanya diam. Masing-masing tidak mahu memulakan perbualan sehinggalah Zain membuka mulutnya.

"Kau ada rokok tak?" tanya Zain. Aku menggelengkan kepala. Itu soalan dia pada aku. Aku pula memang tidak merokok. Lebih-lebih lagi aku alah pada asap rokok. 

"Aku tak hisap rokok" balas aku selamba.

"Habis tu, kau hisap apa?" Aku terkejut dengan soalan Zain. Aku hanya diam. Malas untuk melayan soalan bodoh daripadanya. Aku mempercepatkan langkah aku. 

"Kenapa kau bengang sangat dengan aku?" Aku terus sahaja melangkah menuju ke arah tangga dan meninggalkan Zain. Aku pula yang dituduh bengang terhadap dia. Sedangkan dia dulu yang menyombong tak tentu pasal dan menyindir aku semalam. 

Sampai sahaja di hadapan pintu bilik aku terus membuka pintu tergesa-gesa. Malas nak melayan si sombong tu. Aku masuk ke dalam bilik dan tergamam seketika. Abang Tarmizi ada di dalam bilik. Dia bersama seseorang dan mereka begitu serius sekali. 

"Aku balik dulu. Nanti kita bincang balik esok." Lelaki itu keluar dari bilik dan riak wajahnya penuh dengan kehampaan. Abang Tarmizi pula kelihatan begitu tertekan. Dia menuju ke arah meja tulis dan membuka laptop miliknya. 

Aku hanya diam. Takut untuk menegur. Aku sempat menjeling ke arahnya dan terlihat sesuatu yang mungkin tidak patut aku lihat. Background laptopnya adalah gambar abang Tarmizi bersama lelaki tadi. Hatiku terdetik. Apakah hubungan di antara mereka berdua?

To be continued

F.I

xxx

Terima kasih kerana sudi membaca. Kalau ada yang ingin tahu inspirasi aku untuk setiap watak di dalam cerita ini, aku akan mulakan dengan watak utama di dalam cerita ini. 

Firdaus aka Fi


Fi seorang yang lebih suka menghabiskan masa bersendirian sambil membaca buku-buku penulis kegemarannya. Dia adalah seorang yang jujur, baik hati dan disenangi ramai. Kelemahan Fi yang utama adalah kurang rasa keyakinan pada diri sendiri. 

3 ulasan: