Iklan

Jumaat, 19 Disember 2014

Strange Love - Part 6

Bab 6

Suasana pagi ini agak sunyi. Baik Irham mahupun Afizi sendiri tidak banyak bercakap. Setelah memastikan segala kerjanya sudah diselesaikan, Afizi bergerak menuju ke ruang tamu. Sangkanya, Irham sudah masuk ke dalam biliknya namun dia masih lagi ada di situ sedang membaca surat khabar. 

Dengan perlahan-lahan Afizi duduk di atas sofa. Hatinya resah. Dia menjeling ke arah Irham namun perhatian Irham masih lagi tertumpu kepada surat khabar yang dipegangnya. Afizi berdehem perlahan. Sengaja ingin melihat reaksi Irham. 

Irham mengalihkan pandangannya dari surat khabar kepada Afizi yang ada di atas sofa.

"Kenapa?" tanya Irham walaupun dia sudah dapat mengagak apa yang ingin dibincangkan oleh Afizi. 

"Ermm.. Pasal semalam.. Sorrylah kalau saya buat Encik Irham tak selesa. Saya tak ada niat pun nak sentuh-sentuh Encik..." Afizi tunduk. Bukan kerana takut, tetapi malu dan segan dengan peristiwa semalam. 

"Dah. Takde apa pun. Aku yang stim, kau pula yang malu. Lain kali kalau aku cakap 'stop' tu faham-fahamlah ya." Walaupun Irham sendiri agak segan dengan peristiwa semalam, dia cuba untuk berlagak selamba. 

"Okay. Saya faham, Encik," balas Afizi. 

"Lagi satu, mulai hari ni, tak payah panggil aku encik lagi. Panggil je Irham." Lembut tetapi tegas nada suara Irham. 

"Okay, Encik." 

"Cakap okay tapi panggil aku encik lagi..." 

"Eh, tak perasan pula. Baiklah ermm.. Irham."

Irham tersenyum. Matanya kembali tertumpu kepada ruangan gosip hiburan di dalam surat khabar pada hari ini. 

Aktres popular sorok kandungan?

Entah kenapa hatinya terdetik mengatakan yang gosip itu ditujukan kepada Aisha. 

xxx

Irham mencapai telefon bimbitnya yang ada di sisi katil. Sesi urutan hari ini berjalan tanpa gangguan. Irham berjaya menepis godaan sentuhan tapak tangan Afizi kali ini. Dia tersenyum sendirian mengingatkan Afizi. Hatinya berdegup kencang saat melihat Afizi tersenyum, gelak tawa Afizi membuatkan nafasnya tersekat-sekat dan apabila Afizi menunjukkan reaksi takut kepadanya, ingin sahaja dia memeluk erat Afizi untuk menenangkannya. 

Memang sah, aku sukakan dia!!!

Walaupun tempoh perkenalan mereka masih lagi tidak sampai dua bulan, Irham berasakan dia sudah mengenali Afizi untuk satu tempoh yang lama. Mungkin kerana sejak dia dibenarkan pulang dari hospital, hanya Afizi yang berada di sisinya. Dari pagi hingga ke malam, Afizi berhempas pulas menjaganya. Tidak pernah Afizi menidakkan permintaannya. 

Terdetik perasaan bersalah di dalam diri Irham kerana dia pernah melayan Afizi dengan buruk. Bukan dia sengaja melayan Afizi dan juga jururawat-jururawat lain dengan teruk, tetapi dia benci melihat perasaan simpati yang wujud dari pandangan mata mereka. Dia tidak mahu mereka bersimpati terhadap nasibnya. Dia mahu mereka memberikannya harapan. Harapan yang dia akan boleh berjalan kembali. Namun dia gagal untuk melihat 'harapan' itu terbit dari mereka yang ada di sekelilingnya. Yang wujud cuma 'kasihan', 'simpati', 'jadikan pengajaran' dan juga 'sabar'. Dia tidak perlukan itu semua. 

Tetapi Afizi lain. Dia sentiasa tersenyum. Selalu memberitahunya yang doktor-doktor yang merawatnya adalah di antara doktor yang terbaik. Dan yang paling menyentuh hatinya, Afizi selalu mengambil berat akan dirinya. Menjaga makan pakainya. Irham tersenyum sendirian mengenangkan saat-saat di antara mereka berdua.

xxx

Afizi mengambil kembali surat khabar yang berada di atas meja. Ini merupakan kali ketiga, dia membaca surat khabar yang sama. Entah mengapa, Afizi berasa sangat bosan pada hari ini. Pernah juga dia tertanya-tanya adakah Irham tidak pernah merasa bosan. Selalu terperap di rumah setiap masa. Afizi memandang Irham yang hanya duduk termenung di atas sofa. 

"Irham, nak tanya sikit ni," tegur Afizi, memberanikan dirinya.

"Apa?" Perhatian Irham kini beralih kepadanya. 

"Irham tak bosan ke? Kalau bosan, nak keluar boleh je. Saya boleh temankan."

"Bosan tu memanglah bosan. Tapi nak buat macam mana dah aku tak boleh bergerak. Tak apalah. Nanti susah pula nak bawa kerusi roda, nak angkut aku lagi. Tak payahlah," keluh Irham perlahan.

"Eh, tak menyusahkanlah. Lagipun tu memang tugas saya kan. Tak apa saya tak kisah. Lagipun saya rasa macam nak makan aiskrim lah." Afizi cuba memujuk Irham. 

"Kau pergi je lah seorang. Aku tak nak susahkan kau. Nanti kau cakap, aku buli kau pula."

"Tak.. Betul tak menyusahkan saya pun. Jom lah." Afizi masih tidak berputus asa. Nadanya sedikit mendesak. Tidak pernah dia sangka yang dia akan mendesak Irham pada suatu hari nanti. 

"Okaylah. Banyak cakap pula kau hari ni. Tolong aku bersiap." Irham berlagak selamba tetapi di dalam hatinya, dia sangat gembira. Bukan sahaja dapat keluar dari rumahnya buat pertama kali sejak dia pulang dari hospital, tetapi juga kerana dapat meluangkan masa bersama Afizi. 

xxx

Irham membutangkan bajunya satu persatu sehingga selesai. Rasa janggal pula kerana sudah lama dia tidak memakai pakaian yang kemas. Biasanya hanya t-shirt dan seluar pendek yang menjadi peneman tubuh badannya seharian. 

Afizi mengetuk pinti bilik. 

"Dah siap ke?" tanya Afizi dari luar.

"Dah. Masuklah," balas Irham. 

Afizi membuka pintu dan tergamam buat seketika. Irham kelihatan sangat lain pada hari ini. Pakaiannya sungguh kemas, rambutnya disikat rapi dan wajahnya... Raut wajahnya agak berbeza dari apa yang sering dilihat oleh Afizi sebelum ini. Irham kelihatan sangat kacak. 

"Okay. Jom..." Afizi menuju ke arah Irham.

"Tunggu," Irham menuju ke arah almarinya dan mengeluarkan sehelai baju dan seluar.

"Takkanlah kau nak pakai uniform kau tu. Nah, tukar baju." Irham menghulurkan baju dan seluar yang diambilnya dari almari sebentar tadi. 

"Oh.. okay. Sorry. Kalau saya tahu nak keluar tadi, saya akan bawa je baju dan seluar saya dari rumah." Afizi keluar dari bilik sambil membawa pakaian yang diberikan oleh Irham. 

Sedikit kecewa Irham kerana Afizi tidak menyalin pakaian di dalam biliknya. 

xxx

Afizi menolak keluar Irham dari lif. Sebaik sahaja keluar, Irham menarik nafas kelegaan. Gembira kerana dapat juga dia menghilangkan rasa rindunya pada dunia luar. Tidak sampai seminit, mereka berdua sampai di tempat letak kereta. Afizi membuka pintu kereta. 

"Okay, saya nak angkat ni." Afizi mula mengangkat Irham dan cuba untuk meletakkan di tempat duduk di sebelah pemandu. Saat dia cuba untuk menstabilkan dirinya, dia telah mengangkat Irham terlebih tinggi dan kepala Irham terhantuk di bumbung kereta. 

"Adoi!!" jerit Irham.

"Alamak sorry.. Saya tak sengaja Encik.." Afizi terkejut dengan apa yang berlaku. Dia meletakkan Irham di tempat duduk. 

Irham merenungnya tajam. Tanpa diduga Irham hanya ketawa. Terkedu Afizi tatkala melihat reaksi Irham. Tetapi dia lega. Entah kenapa baru sekarang Afizi sedar yang Irham sudah banyak berubah. Dia bukan lagi 'Mamat Puaka' yang dikenalinya pada suatu masa dahulu. 

"Lain kali hati-hati. Dahlah kaki aku tak berfungsi, kau nak rosakkan otak aku pula ke?" sindir Irham sambil ketawa. 

Afizi menggosok-gosok kepala Irham yang terhantuk sebentar tadi.

"Sorry.. sorry. Kat mana sakit?" Saat itu juga mata mereka saling terpandang. Hati Afizi berdebar-debar. Dengan segera dia berundur namun kepalanya pula yang terhantuk di tepi bumbung kereta. 

"Aduh.."

"Ha.. Tu lah.. Dah kena balasan kan? Karma." Sekali lagi Irham tergelak. Afizi hanya mampu menggosok-gosokkan kepalanya. Dia menutup pintu kereta lalu melipat kerusi roda dan meletakkannya di tempat duduk belakang. Kemudian dia bergerak ke arah pintu di bahagian pemandu. 

Afizi masuk dan duduk di tempat pemandu. Dia memeriksa samada gas masih mencukupi atau tidak. Tanpa diduga tangan Irham singgah di kepalanya sambil menggosok-gosok bahagian yang terhantuk. Afizi hanya diam. 

"Sakit lagi?" lembut sahaja kata-kata yang keluar dari mulut Irham. 

Afizi hanya mampu menggeleng-gelengkan kepalanya sambil tersenyum. 

xxx

Setelah meletakkan kereta di tempat letak kereta, Afizi membantu Irham untuk keluar dari kereta. Namun entah kenapa mood Irham mula berubah. 

"Irham, okay tak?" tanya Afizi bimbang. Takkanlah disebabkan hantukan tadi.

"Aku seganlah. Dah macam ni pun nak keluar lagi." Perlahan saja suara yang keluar dari mulut Irham. 

"La.. kenapa nak segan?"

"Ya lah. Nanti semua orang mesti tengok aku. Aku tak nak orang bersimpati kat aku," jawab Irham. 

"Kenapa nak pedulikan pasal orang lain? Dia orang takde kena mengena pun dengan hidup Encik.. Eh sorry, Irham. Susah nak memuaskan hati semua orang. Jangan seganlah. Biar je lah dia orang nak tengok. Lagi pun Irham nampak handsome hari ni. So, kasi jelah dia orang tengok." Afizi cuba untuk menenangkan perasaan Irham. 

Irham hanya tersenyum. 

"So hari ni je lah aku hensem? Hari lain tak?" Irham mengusik Afizi. 

"Bukan macam tu. Hari ni je extra special sikit." Afizi tergelak kecil. 

"Okay jom. Jangan bimbang, saya ada," sambung Afizi sambil mula menolak Irham. 

xxx

Afizi membawa Irham dari satu kedai ke satu kedai yang lain. Sesekali Irham meminta Afizi untuk membawanya ke kedai yang Afizi sendiri tidak pernah masuk. Butik-butik mewah sememangnya bukan lokasi untuk Afizi membeli-belah. 

"Encik Irham!!!" jerit seorang jurujual perempuan saat melihat Irham masuk ke dalam sebuah butik terkenal. 

"Hi, Jane." Dengan selamba gadis itu memeluk Irham. 

"Ni pembantu I, Afizi." Irham memperkenalkan Afizi kepada gadis yang bernama Jane. Afizi menyambut tangan yang dihulurkan oleh Jane untuk bersalam. 

"Kami kat sini semua sedih bila dengar cerita pasal Encik Irham kemalangan. Gembira sangat dapat jumpa Encik Irham lagi." Jane kelihatan ceria melihat Irham. 

Afizi meninggalkan Irham. Sengaja membiarkan Irham untuk berjumpa dengan kenalan-kenalan lamanya. Sekurang-kurangnya Irham nampak gembira. Mata Afizi melilau-lilau melihat barang-barang yang dijual di dalam butik ini. Matanya tertumpu kepada beg berjenama Coach yang ada dipamerkan di rak. 

Afizi melihat tanda harga yang ada dilekatkan di sisi beg itu. 

RM1399

Terkedu seketika Afizi melihat harga beg itu. 

Sayang. Beg cantik tetapi harga mahal nak mampus.

"Ni latest design untuk musim luruh. Tengah hot sekarang." Seorang jurujual lelaki datang menegur Afizi dari belakang. Afizi hanya tersenyum. 

"Tak apa saya tengok-tengok dulu." Dengan sopan, Afizi membalas teguran daripada jurujual lelaki tadi. 

"Hebat you. Berjaya dapatkan Encik Irham. Jealous I," tambah jurujual itu lagi sambil tersenyum sinis.

"Hah? Dapat?" Afizi meletakkan beg yang dipegangnya ke tempat asal.

"Jangan bimbang. Pilih je yang mana berkenan. Encik Irham mesti mampu bayarkan. Demi untuk orang tersayang kan?" 

"Tak, saya dengan dia memang tak ada apa-apa. Saya hanya pembantu dia sahaja. Jururawat." Afizi menerangkan perkara sebenar kepada jurujual itu. 

"Oh ya ke. Jururawat. Okay. Hati-hati pegang beg tu. Nanti jatuh. Kalau tak nak beli boleh tunggu kat luar ya." Sikap peramah jurujual tadi tiba-tiba bertukar menjadi dingin saat mendengar penerangan daripada Afizi. Dengan segera jurujual itu berlalu pergi. 

Afizi hanya mampu menggelengkan kepala melihat reaksi jurujual tersebut. 

Manusia... 

xxx

"Takpelah. Order je lah apa-apa. Saya tak tahu sangat makanan kat sini. Asalkan ayam je saya makan." Pening kepala Afizi melihat senarai menu yang ada di restoren ini. 

"Okay. Waiter!" Irham memanggil pelayan yang ada berhampiran dengan meja mereka berdua. Setelah memesan makanan, Irham melihat kembali kepada Afizi yang termenung. 

"Kenapa?"

"Takde apa-apa. Terima kasih kerana sudi bawa saya makan kat sini. Mahal-mahal pula harga makanan kat sini. Nanti saya dapat gaji, saya pula belanja Enc.. Irham ya." Afizi tersenyum kecil. Dia tidak mahu memberitahu Irham peristiwa yang berlaku sebentar tadi. Walaupun dia cuba berlagak selamba, tetapi peristiwa bersama jurujual tadi membuatnya berasa terkilan. Teringat kembali memorinya semasa di sekolah. Seringkali dihina kerana keluarganya yang tidak berduit. 

"Betul? Okay, aku akan ingat janji kau."

"Betul. Tapi janganlah yang mahal sangat ya..."

Irham tergelak kecil. 

"By the way, terima kasih. Susahkan kau je bawa aku keluar."

"Sama-sama. Tak apa. At least saya pun dapat keluar juga. Kalau Irham selalu belanja makan, memang hari-hari pun saya boleh bawa keluar." Afizi tergelak perlahan.

"Ooh.. Kau memang nak ambil kesempatan lah ni ya..." Irham turut tergelak mendengan pengakuan daripada Afizi.

xxx

Afizi membuka pintu dan kemudian memetik suis lampu. Dia menahan pintu untuk memberi ruang kepada kerusi roda Irham. 

"Letihnya." Irham mengangkat kedua belah tangannya.

Afizi meletakkan beg-beg plastik yang mengandungi barang-barang yang dibeli oleh Irham di atas meja di ruang tamu. 

"Okaylah. Encik ada apa-apa lagi ke. Sebab saya nak balik dah ni. Nak bawa Mak saya pergi ke klinik pula. Ada appointment dengan doktor." 

"Oh.. Tak ada rasanya. Pergilah. Hati-hati bawa kereta." Entah kenapa berat hati Irham untuk membenarkan Afizi pulang.

"Terima kasih..." Afizi menyandang kembali begnya. 

"Nanti dulu" Irham mengambil beg kertas Coach yang ada di atas meja dan menghulurkan kepada Afizi. 

"Err.. Apa dia ni?" tanya Afizi yang terkejut dengan pemberian Irham.

"Beg yang kau tengok petang tadi. Ambillah. Hadiah dari aku." 

"Eh Encik... Janganlah. Mahal ni. Ribu-ribu ni. Tak boleh saya terima." Serba salah Afizi untuk menerima hadiah yang mahal daripada Irham.

"Ambil je lah. Lagipun aku dah beli. Takkan nak buang. Aku mana pakai beg macam ni. Anggap je hadiah birthday. Lepas ni tak payah bagi dah." Irham menarik tangan Afizi dan menyerahkan beg kertas itu kepada Afizi. 

"Tapi mahal sangat ni..."

"Dah. Jangan banyak alasan. Pergi balik. Kesian Mak kau yang tunggu kat rumah tu. Kunci pintu." Irham berlalu pergi dari situ dan menuju ke bilik tidurnya. 

Afizi melihat beg kertas yang ada di tangannya. Terharu dengan pemberian daripada Irham. 

xxx

To be continued
F.I

10 ulasan:

  1. Nicely crafted story line.....keep it up ;)

    BalasPadam
  2. Sweetnya dieorg .. Best

    BalasPadam
  3. cam siot jurujual tu, puihh!!

    haha

    btw laptop dh ok ka?

    BalasPadam
    Balasan
    1. Laptop masih belum elok lagi. So terpaksa lah menaip gunakan phone dulu sebelum beli keyboard USB. Berapa ya harga?

      Padam
  4. Afizi dah dapat beg mahal...
    tak lama lagi turn F.I. pulak dapat laptop mahal. Mac book hu hu huu...

    BalasPadam
  5. Maigodddddd!.. bestnye..sambung cepat2..

    BalasPadam