Iklan

Khamis, 30 Januari 2014

Gay Movie: The Geography Club

Hello!!!

Siapa yang minat dengan subjek geografi? Mesti takde kan. Aku rasa sikit jer orang yang pilih subjek geografi sebagai subjek kegemaran mereka kerana biasanya subjek kegemaran kebanyakan orang adalah matematik atau sains. 


Filem ini dikeluarkan pada tahun 2013. Aku rasa DVD version untuk filem ini belum  dikeluarkan lagi tetapi aku berjaya juga jumpa link download untuk movie ni. Kualiti dia average sahaja. Tapi still boleh ditonton dengan tenang. 

Filem ini mengisahkan sekumpulan pelajar di Goodkind High School yang menubuhkan kelab geografi sekolah sebagai salah satu cara untuk pelajar-pelajar gay dan lesbian berkumpul dan berkongsi pengalaman mereka tanpa diketahui oleh orang ramai. Kelab geografi dipilih kerana tiada pelajar yang berminat untuk menyertai kelab geografi di sekolah mereka. 

Kevin (Justin Deeley) & Russell (Cameron Deane Stewart)

Watak utama dalam filem ini adalah Russell (Cameron Deane Stewart) seorang pelajar gay yang tidak pernah memberitahu sesiapa mengenai dirinya yang sebenar sehinggalah dia bertemu dengan Kevin (Justin Deeley) atlet football di sekolahnya menerusi chatroom khas untuk golongan gay. Kevin masih lagi keliru dengan status dirinya dan cuba mengelak dari berhubungan dengan Russell sehinggalah mereka bercium dan dilihat oleh Min (Ally Maki) salah seorang pelajar yang menyertai kelab geografi. Min 'mengugut' Russell untuk menyertai kelab mereka. Di sana Russell berkenalan dengan pelajar-pelajar lain seperti Terese (Nikki Blonsky), kekasih kepada Min dan Ike, (Alex Newell) pelajar yang mengalami masalah kecelaruan jantina. 

Dari kiri: Ike (Alex Newell), Terese (Nikki Blonsky), Russell (Cameron Deane Stewart) & Ally Maki (Min)

Pelakon-pelakon The Geography Club

Overall, this is such a great movie especially untuk remaja-remaja yang mengalami masalah untuk menerima siapa diri mereka. Jalan ceritanya sangat simple dan menarik. Gandingan pelakon-pelakonnya juga sangat bagus. 

Rating:

Rabu, 29 Januari 2014

Forbidden Love - Part 3

Bab 3

Hari ini merupakan hari terakhir sesi orientasi bersama pelajar baru. Hubungan aku dan abang Tarmizi pula masih seperti biasa. Aku tidak pula bertanya kepada abang Tarmizi mengenai kejadian yang berlaku di bilik. Lagipun, bukan urusan aku untuk menyiasat hubungan abang Tarmizi dengan lelaki itu. Walaupun hati aku ingin tahu sangat akan hubungan mereka, aku mengambil keputusan untuk menghormati privacy abang Tarmizi. 

Selesai sahaja sesi orientasi, aku terus pulang ke bilik. Aku lebih suka menghabiskan masa di dalam bilik. Sejujurnya, aku sedikit risau kerana aku masih belum berjumpa seorang rakan yang betul-betul serasi dengan aku. Memang aku banyak menghabiskan masa bersama Razi dan Khairul Amin sepanjang sesi orientasi, tetapi agak sukar untuk aku betul-betul rapat dengan mereka. 

Aku membuka laptop. Sekadar melihat fail-fail lama yang berada di dalam laptop. Aku terdengar tombol pintu dipulas perlahan. Abang Tarmizi masuk ke dalam bilik dan meletakkan begnya di atas katil. 

"Macam mana dengan sesi last tadi?" tanya abang Tarmizi sambil membuka butang baju kemejanya. 

"Okay jer. Lega sangat dah habis. Tak larat nak bangun pagi-pagi" jawab aku sambil mata aku menjeling melihat abang Tarmizi menanggalkan bajunya. Abang Tarmizi duduk di atas katilnya. 

"Fi, abang nak cakap sikit dengan Fi." Abang Tarmizi kelihatan sedikit gugup. 

"Pasal apa?" aku bertanya walaupun dalam hati aku dapat mengagak yang abang Tarmizi ingin berbicara mengenai kejadian yang berlaku tempoh hari. 

"Pasal malam tu kan, Fi rasa apa yang berlaku?" dia pula bertanya soalan kepada aku. 

"Entahlah. Fi tak sedar sangat cuma nampak kawan abang macam marah jer." jawab aku perlahan. 

"Oh ya ke.. Kami ada salah faham sikit. Takpelah, nanti abang cerita kat Fi. Abang mengantuklah. Nanti pukul 8 malam, Fi kejut abang ya. Ada meeting"

Aku mengangguk. Abang Tarmizi berpaling ke arah dinding. Aku semakin sangsi dengan hubungan abang Tarmizi dengan lelaki itu. Adakah mereka ada hubungan yang istimewa?

xxx

Aku berjalan menuju ke koperasi untuk membeli sedikit barang keperluan terutamanya maggi. Aku sedikit malas untuk turun ke dewan makan. Jadi maggi adalah bekalan utama untuk perutku. 

"Firdaus!!!" aku berpaling. Veronica, gadis dari Sabah melambai-lambai tangannya. "Kamu mahu pergi ke mana?" loghat Sabahnya masih lagi pekat. 

"Koperasi.." aku berhenti. Menunggu Veronica yang berjalan ke arah aku. 

"Aku mau ke sana jugak" 

"Jomlah, kita pergi sekali." Walaupun aku jarang bercakap dengan Veronica semasa sesi orientasi, tetapi aku selesa sangat bergaul dengannya. Veronica merupakan satu-satunya pelajar Sabah yang akan mengambil jurusan perakaunan di sini. 

"Bagus jugak" senyum Veronica. Sepanjang perjalanan, kami banyak bertukar-tukar cerita mengenai pengalaman kami sebelum ini. Veronica merupakan seorang gadis yang sangat kelakar. Walaupun kadang-kadang aku tidak faham tutur bicaranya, aku masih terhibur dengan lawak jenakanya. Buat pertama kali, aku berasa tidak sunyi berada di sini. 

xxx

Aku meletakkan telefon di sebelah. Jam loceng sudah dikunci. Esok merupakan kelas pertama aku di universiti. Sedikit bimbang. Abang Tarmizi sudah lama berbaring di atas katilnya. Aku menutup lampu. 

"Fi nak tidur dah ke?" tanya abang Tarmizi. 

"Takdelah mengantuk sangat, cuma takut bangun lewat esok. Ada kelas pukul 9" aku menepuk-nepuk bantal. 

"Good luck ya... Boleh tak abang nak ajak sembang kejap?"

"Boleh... Pasal apa?" tanya aku sambil mengiring menghadap abang Tarmizi. 

"Fi dah ada awek?" 

Aku terkejut dengan soalan abang Tarmizi. "Takde..." jawab aku. 

"Ooh.. Pakwe?" lagi terkejut dengan soalan kali ini. 

Aku buat-buat tergelak kecil. "Mana ada.." 

"Kalau abang cakap, abang ada pakwe. Apa pandangan Fi?" abang Tarmizi bangkit dari tidur dan duduk bersila di atas katilnya. 

Aku sedikit terkejut dengan sikap terbuka abang Tarmizi. "Err... err.. Fi rasa itu hak abang.. So Fi tak boleh nak komen lebih-lebih.." aku buntu. Tidak tahu apa yang patut diucapkan. 

"Budak lelaki yang datang bilik kita hari tu. Yang macam marah tu. Itulah pakwe abang. Bekas pakwe actually.." jelas abang Tarmizi. 

Memang aku sudah mengagak sebelum ini tetapi aku masih lagi terkejut dengan pengakuan abang Tarmizi. 

"Kami dah clash. Tetapi dia nak sambung balik hubungan kami. Abang cakap tak nak." sambung abang Tarmizi. Patutlah lelaki itu keluar dari bilik tempoh hari dengan muka yang masam. 

"Oooh.. Kenapa clash?" aku cuba memberanikan diri bertanya. 

"Entahlah. Abang tak rasa kami ni serasi. Dari asyik bergaduh, lebih baik stop jer." jawab abang Tarmizi. "Fi, jangan cerita kat orang lain pulak. Tak ramai yang tahu pasal abang ni. Abang percaya kat Fi" sambung abang Tarmizi lagi.

"Ishh.. Takdelah. Fi faham. Kalau abang Mizi ada apa-apa masalah, ceritalah kat Fi. Fi tak kisah." aku gembira kerana abang Tarmizi percaya kepada aku. 

"Fi pulak macam mana. Suka lelaki or perempuan?" abang Tarmizi merenung aku. 

"Errr... Entahlah. Fi pun tak tahu lagi" jawab aku jujur walaupun sedikit teragak-agak pada mulanya. 

"Tak apa. Nanti Fi akan figure out dengan sendiri. Abang dulupun ambil masa jugak." jelas abang Tarmizi lagi. Kami terus rancak berbual mengenai diri masing-masing. Aku berasa sungguh dekat dengan abang Tarmizi. 

xxx

Aku tergesa-gesa mengambil tuala dan menuju ke bilik air. Aku tidak sedar sudah berapa lama jam loceng di telefonku berbunyi. Salah aku juga yang rancak berbual dengan abang Tarmizi hingga ke lewat malam.  

Aku masuk ke bilik air dan terus menggosok gigi. Suasana sungguh sunyi sekali. Pelajar-pelajar lain mungkin sudah lama ke kelas masing-masing. Perutku pula tiba-tiba memulas. Sudahlah lambat, perut pula meragam. 

Aku menuju ke dalam tandas yang terdekat. Aku menolak pintu tandas dan 

"Hoi!!!" lelaki di dalam tandas itu cuba menahan pintu tandas tetapi gagal ekoran tolakan aku yang agak kuat. Aku tergamam. Sebelah tangannya cuba melindungi kemaluannya dan sebelah lagi cuba menolak balik pintu tandas, Dia sempat merenungku dengan tajam. 

Dia adalah Zain aka si sombong...

To be continued

F.I

xxx

Mari berkenalan dengan Zain aka si sombong. 

Zain


Zain merupakan seorang yang misteri dan dingin. Banyak berahsia dan tidak suka bergaul dengan orang sekeliling. Namun begitu, dia mempunyai hati yang baik dan mengambil berat terhadap kawan-kawannya walaupun tidak pandai untuk menunjukkan perasaannya secara terbuka.  

Ahad, 26 Januari 2014

TV Series: Looking (Season 1)

Hello!!!

Amat susah sekali untuk melihat siri tv yang dicipta khusus untuk golongan gay. Selepas siri tv 'Queer As Folk' tamat tayangannya pada tahun 2005, tiada lagi siri tv yang betul-betul menyentuh isu gay. Selepas 'Queer As Folk' ada beberapa lagi siri tv seperti Dante's Cove & The Lair tetapi siri tv ini lebih menumpukan pada aksi seksual dari menyentuh aspek-aspek lain seperti nilai persahabatan, cinta dan kehidupan. 



So, bila aku dapat tahu pasal siri tv 'Looking', aku memang excited sekali. Terutamanya bila watak utama dalam siri tv ini akan dilakonkan oleh Jonathan Groff. 'Looking' mengisahkan kehidupan 3 orang sahabat yang tinggal di San Francisco. 


Tiga watak utama di dalam siri tv ini adalah;

Patrick (Jonathan Groff)

Jonathan Groff as Patrick
Patrick merupakan seorang lelaki gay yang berjaya dalam kariernya sebagai seorang video game developer. Tetapi dia masih gagal mencari cinta sejati. Aku rasa watak Patrick paling dekat dengan diri aku. Geeky and nerdy, a little bit awkward tetapi merupakan seorang kawan yang baik. 

Agustin (Frankie J. Alvarez)

Frankie J. Alvarez as Agustin
Agustin merupakan kawan baik kepada Patrick dan sudah mempunyai teman lelaki, Frank. Mereka mengamalkan hubungan secara terbuka. 

Dom (Murray Bartlett)

Murray Bartlett as Dom
Dom bekerja sebagai pelayan di sebuah restoren. Dia mengalami krisis pertengahan umur dan tidak mempunyai keyakinan untuk memikat lelaki lain disebabkan oleh umurnya yang meningkat naik.


Siri tv ini hanya disiarkan selama 30 minit di saluran HBO. Jangan harap siri tv ini akan ditayangkan di Malaysia. So aku download sahaja menggunakan Alldebrid. Episod 2 akan ditayangkan esok. So masih sempat lagi kalau nak follow siri tv ini. 

Truly, 
F.I

Jumaat, 24 Januari 2014

Forbidden Love - Part 2

Bab 2

"Eh, Abang Mizi!" Aku terkejut melihat abang Tarmizi berada di dalam bilikku. Yang membuatkan aku menjadi tak keruan lagi adalah dia tidak memakai baju. 

"Fi... Fi tinggal di bilik ni ke?" tanya abang Tarmizi yang juga terkejut melihat aku di muka pintu. 

"Ya, Fi dapat bilik ni." jawabku pendek sambil menuju ke arah katilku. Aku menepuk-nepuk bantal dan membetulkan cadar 'Pokemon' milikku. 

"Masa abang masuk bilik tadi, abang tengok ada cadar 'Pokemon' terus teringat kat Fi. Rupa-rupanya memang Fi pun." gelak abang Tarmizi perlahan. Abang Tarmizi teringatkan aku? Tak sangka abang Tarmizi masih ingat dengan keobsesan aku terhadap Pokemon sejak dari zaman sekolah lagi. 

Aku hanya mampu tersenyum. Diam kerana tidak tahu apa yang ingin dikatakan kepada abang Tarmizi. Sesekali mata aku sempat menjeling kepada tubuh abang Tarmizi yang tidak dilitupi seurat benang pun. Mujurlah abang Tarmizi masih lagi memakai seluar panjang. Aku mengambil bakul kecil yang mengandungi berus gigi dan pelbagai lagi 'toiletries' yang lain.

Dalam perjalanan ke bilik mandi, otak aku penuh dengan pelbagai reaksi. Ada gembira, bimbang, takut, teruja dan macam-macam lagi yang bermain di benak fikiran aku sehingga aku hampir terlanggar seseorang. Aku mendongak kepalaku. Si sombong berada di muka pintu bilik mandi dengan hanya memakai tuala.

xxx

Aku selesai memberus gigi dan mencuci muka. Teringat dengan apa yang berlaku antara aku dan si sombong sebentar tadi. Si sombong hanya berlalu tanpa sebarang kata. Aku sedikit tergamam melihat tubuh si sombong yang begitu tegap dan sasa. Tetapi abang Tarmizi masih lagi menduduki carta pertama dalam hati aku. 

Aku menuju ke arah bilik. Lampu sudah padam. Abang Tarmizi pun sudah baring di atas katilnya. Esok akan bermula sesi orientasi secara rasmi. Aku cuba untuk tidur tetapi hatiku berdebar-debar memikirkan abang Tarmizi yang berada di katil sebelah. Aku akan menghabiskan satu semester bersama abang Tarmizi. Hatiku hanya mampu tersenyum riang. 

xxx

Hari pertama orientasi berjalan dengan lancar. Tiada apa yang menarik. Cuma beberapa ceramah dan juga sesi untuk para senior berkenalan dengan lebih rapat dengan junior. Aku banyak menghabiskan masa bersama Razi dan Khairul Amin. Walaupun aku kadang-kadang tidak faham apa yang dibicarakan oleh mereka, aku sedar aku memerlukan mereka kerana mereka akan menjadi teman sekuliahku sepanjang empat tahun di sini nanti. 

Kami bertiga menuju ke dewan makan. Aku melihat sekeliling. Cuba mencari abang Tarmizi. Dia bersama dengan rakan-rakannya sedang makan di salah satu meja makan. Razi memanggil seseorang. 

"Zain!!!" panggil Razi kepada rakannya. Aku melihat ke arah orang yang dipanggil oleh Razi itu. Si sombong rupanya. Si sombong atau Zain menuju ke arah meja kami sambil membawa 'tray' makanannya. 

"Thank you, Bro. Dah berpeluh aku cari tempat duduk." Zain duduk di sebelah aku. 

"Firdaus, ni Zain. Dia pun ambil jurusan perakaunan juga." beritahu Razi. Aku hanya menunduk kepala kepada Zain. Razi, Khairul Amin dan si sombong rancak berbual sambil menyuap nasi masing-masing. Aku bangun. 

"Razi, Amin, aku balik bilik dulu ya. Letihlah. Malam ni ada ceramah lagi." Aku hanya mengangguk kepala kepada Zain. 

"Okay. Jumpa malam ni." balas Razi. Aku sedar Zain tidak memberi apa-apa reaksi pun pada aku. Aku berlalu pergi. 

xxx

Ceramah baru sahaja berakhir. Aku berjalan bersama Razi, Khairul Amin dan Zain menuju ke arah kolej kami. Razi & Khairul Amin tinggal di blok A. Manakala aku dan Zain tinggal di blok B. 

"Okay. Jumpa esok. Good night." Razi dan Khairul Amin masuk ke dalam blok mereka. Blok B terletak agak jauh sikit. Aku dan Zain hanya diam. Masing-masing tidak mahu memulakan perbualan sehinggalah Zain membuka mulutnya.

"Kau ada rokok tak?" tanya Zain. Aku menggelengkan kepala. Itu soalan dia pada aku. Aku pula memang tidak merokok. Lebih-lebih lagi aku alah pada asap rokok. 

"Aku tak hisap rokok" balas aku selamba.

"Habis tu, kau hisap apa?" Aku terkejut dengan soalan Zain. Aku hanya diam. Malas untuk melayan soalan bodoh daripadanya. Aku mempercepatkan langkah aku. 

"Kenapa kau bengang sangat dengan aku?" Aku terus sahaja melangkah menuju ke arah tangga dan meninggalkan Zain. Aku pula yang dituduh bengang terhadap dia. Sedangkan dia dulu yang menyombong tak tentu pasal dan menyindir aku semalam. 

Sampai sahaja di hadapan pintu bilik aku terus membuka pintu tergesa-gesa. Malas nak melayan si sombong tu. Aku masuk ke dalam bilik dan tergamam seketika. Abang Tarmizi ada di dalam bilik. Dia bersama seseorang dan mereka begitu serius sekali. 

"Aku balik dulu. Nanti kita bincang balik esok." Lelaki itu keluar dari bilik dan riak wajahnya penuh dengan kehampaan. Abang Tarmizi pula kelihatan begitu tertekan. Dia menuju ke arah meja tulis dan membuka laptop miliknya. 

Aku hanya diam. Takut untuk menegur. Aku sempat menjeling ke arahnya dan terlihat sesuatu yang mungkin tidak patut aku lihat. Background laptopnya adalah gambar abang Tarmizi bersama lelaki tadi. Hatiku terdetik. Apakah hubungan di antara mereka berdua?

To be continued

F.I

xxx

Terima kasih kerana sudi membaca. Kalau ada yang ingin tahu inspirasi aku untuk setiap watak di dalam cerita ini, aku akan mulakan dengan watak utama di dalam cerita ini. 

Firdaus aka Fi


Fi seorang yang lebih suka menghabiskan masa bersendirian sambil membaca buku-buku penulis kegemarannya. Dia adalah seorang yang jujur, baik hati dan disenangi ramai. Kelemahan Fi yang utama adalah kurang rasa keyakinan pada diri sendiri. 

Forbidden Love - Part 1

Bab 1

Setelah mengucapkan selamat jalan kepada keluarga yang tercinta, aku menaiki tangga dan menuju ke arah bilikku yang bernombor 324. Semasa dalam perjalanan, aku terserempak dengan seorang pelajar bersama keluarganya  yang saling mengucapkan selama tinggal di antara mereka. Aku teringat waktu aku mengucapkan selamat tinggal kepada keluargaku sebentar tadi. Ini merupakan kali pertama aku berpisah dengan keluarga aku. Tak dapat aku bayangkan bagaimana aku akan menjalani kehidupan di sini. Aku merupakan antara pelajar yang bertuah. Diberi peluang untuk melanjutkan pelajaran di peringkat universiti. Aku telah diterima untuk melanjutkan pelajaran di UiTM, Shah Alam yang mempunyai kewibawaannya yang tersendiri.

Aku membuka tombol pintu. Masih lagi kosong katil di sebelah aku. Aku tertanya-tanya pada diri, siapakah yang akan menjadi teman sebilikku. Bagaimana orangnya nanti. Harap-harap aku mendapat seorang rakan sebilik yang memahami diriku. Aku bukanlah seperti lelaki yang lain. Naluri aku berbeza. Aku lebih gemar menghabiskan masa dengan membaca dan menelaah pelajaran dari bermain di padang. Aku berharap, teman sebilikku ini akan memahamiku dan tidak prejudis terhadap aku. Aku bukanlah pondan atau ingin menjadi seorang mak nyah, malah diri aku sendiri kurang gemar berkawan dengan golongan begitu. Bukan kerana sifat prejudis yang wujud di dalam diri, tetapi segan memikirkan bagaimana dengan persepsi ahli keluargaku nanti. Jadi aku lebih gemar menghabiskan masa bersendirian. Mataku beralih kepada barang-barang yang masih berselerak di lantai. Daripada aku bermenung, lebih baik saja aku mengemas dan menyusun barang-barang aku. Bermulalah satu episod baru di dalam hidupku ini.

***

Malam ini satu taklimat akan disampaikan oleh wakil pelajar kepada pelajar-pelajar baru yang akan memulakan sesi pengajian mereka di sini. Selepas Isyak, aku segera turun ke dewan. Berbekalkan peta yang disediakan oleh pihak pengurusan aku berjaya mencari destinasi yang ingin ditujui dengan selamat. Ketika aku cuba memasuki dewan, ada seorang pelajar yang ingin keluar dari situ. Aku bergerak ke arah kiri untuk memberi laluan, namun dia pun turut bergerak ke arah kiri. Bila aku cuba melalui pintu sebelah kanan, dia pun turut bergerak ke arah kanan. Dia berhenti dan merenungku dengan tajam. Aku berundur dan hanya membiarkan sahaja dia keluar dahulu. Dalam hatiku, hanya terdetik perkataan ‘sombong’ untuk pelajar itu.

Aku berjalan sambil mataku mencari-cari kerusi kosong. Tiba-tiba bahuku dicuit. 

“Fi. Selamat datang ke UiTM!!!” sapa satu suara yang amat kukenali. Abang Tarmizi berada di hadapan aku. Abang Tarmizi merupakan pelajar senior semasa aku di sekolah menengah. Keluarga kami mengenali di antara satu sama lain. Jurang umur kami sebanyak tiga tahun membataskan pergaulan kami. 

“Eh, Abang Mizi. Terima kasih. Abang Mizi akan jadi faci ke nanti?” tanya aku walaupun aku sudah melihat kad yang bertulis ‘facilitator’ di dadanya. 

“Ya. Siapa hantar Fi petang tadi?” tanya abang Tarmizi pula kepada aku. Kami terus berbalas soalan dan jawapan, kerana agak lama juga kami tidak bertemu. Semasa di sekolah menengah, aku mempunyai sedikit perasaan terhadap abang Tarmizi. Dalam erti kata lain, crush. Tetapi aku sedar, aku dengan abang Tarmizi ibarat langit dengan bumi. Abang Tarmizi terkenal di sekolah menengah ekoran ketampanan wajahnya. Walaupun ada terdengar desas-desus yang mempersoalkan seksualiti abang Tarmizi, aku sedar antara aku dengan dia, tidak mungkin akan berlaku apa-apa.

***

Selesai sahaja taklimat, aku terus sahaja melangkah ke arah blok yang menempatkan bilikku. Aku begitu lega sekali kerana aku telah berjaya untuk mengenali pelajar-pelajar yang akan menjadi teman sekuliahku nanti. Razi, pelajar lelaki yang berkopiah dan berasal dari Alor Setar, Kedah merupakan seorang yang peramah. Khairul Amin, pelajar dari Pulau Pinang yang sedikit pendiam dan Veronica, gadis dari Sabah yang petah bercakap tetapi agak sukar sedikit untuk aku memahami pelat Sabahnya. Aku tidak sabar-sabar lagi untuk meneruskan pengajian aku di dalam bidang perakaunan di sini.

Semasa berjalan pulang, aku menyedari ada seseorang yang sedang berjalan menuruti belakangku. Aku melihat ke belakang. Pelajar sombong di pintu dewan tadi ada di belakangku. Aku berjalan perlahan untuk memberi peluang kepadanya untuk melintasi aku kerana aku tidak begitu selesa berjalan di hadapan orang lain. Tetapi firasatku salah. Pelajar sombong tadi turut memperlahankan ayunan langkahnya.

“Terkedek-kedek...” Aku terkejut mendengar perkataan yang keluar dari mulut pelajar sombong itu. Adakah dia sedang mengejek aku, kerana aku sudah sedaya upaya cuba untuk memberi ruang untuk dia melintasi aku. Aku hanya mendiamkan diri dan tidak melayan pelajar sombong itu. Tiba-tiba dia melintasi aku sambil berbisik perlahan “Jalan macam itik…”. Aku terkedu seketika. Aku hanya membiarkan dia berlalu pergi. Aku sedar dalam dunia ini, akan sentiasa ada manusia yang bersikap prejudis dan suka menganggu hidup orang lain. Aku cuba memujuk hatiku untuk mempedulikan kata pelajar sombong itu, tetapi aku masih tertanya-tanya apakah salahku terhadap dia. Takkanlah disebabkan kejadian di pintu dewan tadi, dia membuat keputusan untuk menyindir aku.

Aku sampai di hadapan pintu bilikku. Ianya terbuka. Aku tergamam seketika dan terus terfikir adakah bilikku dimasuki pencuri. Aku teringat akan teman sebilikku yang masih belum ku temui. Aku menjengah masuk dan ada seseorang di sebalik pintu almari yang dibuka. Tangannya menguis untuk menutup pintu almari dan aku dapat melihat dengan jelas siapakah gerangannya. Abang Tarmizi ada di hadapanku dan dia tidak memakai baju. Aku terkesima. Adakah ini takdir?.

To be continued…

FI

Introduction

Hello!!!

Welcome to Freak Like Us!!!

This is my personal blog. Aku just nak share dengan korang semua pasal hidup aku dan everything yang aku suka di dunia ini. 

Thank you, 
~ FI