Iklan

Jumaat, 24 Januari 2014

Forbidden Love - Part 1

Bab 1

Setelah mengucapkan selamat jalan kepada keluarga yang tercinta, aku menaiki tangga dan menuju ke arah bilikku yang bernombor 324. Semasa dalam perjalanan, aku terserempak dengan seorang pelajar bersama keluarganya  yang saling mengucapkan selama tinggal di antara mereka. Aku teringat waktu aku mengucapkan selamat tinggal kepada keluargaku sebentar tadi. Ini merupakan kali pertama aku berpisah dengan keluarga aku. Tak dapat aku bayangkan bagaimana aku akan menjalani kehidupan di sini. Aku merupakan antara pelajar yang bertuah. Diberi peluang untuk melanjutkan pelajaran di peringkat universiti. Aku telah diterima untuk melanjutkan pelajaran di UiTM, Shah Alam yang mempunyai kewibawaannya yang tersendiri.

Aku membuka tombol pintu. Masih lagi kosong katil di sebelah aku. Aku tertanya-tanya pada diri, siapakah yang akan menjadi teman sebilikku. Bagaimana orangnya nanti. Harap-harap aku mendapat seorang rakan sebilik yang memahami diriku. Aku bukanlah seperti lelaki yang lain. Naluri aku berbeza. Aku lebih gemar menghabiskan masa dengan membaca dan menelaah pelajaran dari bermain di padang. Aku berharap, teman sebilikku ini akan memahamiku dan tidak prejudis terhadap aku. Aku bukanlah pondan atau ingin menjadi seorang mak nyah, malah diri aku sendiri kurang gemar berkawan dengan golongan begitu. Bukan kerana sifat prejudis yang wujud di dalam diri, tetapi segan memikirkan bagaimana dengan persepsi ahli keluargaku nanti. Jadi aku lebih gemar menghabiskan masa bersendirian. Mataku beralih kepada barang-barang yang masih berselerak di lantai. Daripada aku bermenung, lebih baik saja aku mengemas dan menyusun barang-barang aku. Bermulalah satu episod baru di dalam hidupku ini.

***

Malam ini satu taklimat akan disampaikan oleh wakil pelajar kepada pelajar-pelajar baru yang akan memulakan sesi pengajian mereka di sini. Selepas Isyak, aku segera turun ke dewan. Berbekalkan peta yang disediakan oleh pihak pengurusan aku berjaya mencari destinasi yang ingin ditujui dengan selamat. Ketika aku cuba memasuki dewan, ada seorang pelajar yang ingin keluar dari situ. Aku bergerak ke arah kiri untuk memberi laluan, namun dia pun turut bergerak ke arah kiri. Bila aku cuba melalui pintu sebelah kanan, dia pun turut bergerak ke arah kanan. Dia berhenti dan merenungku dengan tajam. Aku berundur dan hanya membiarkan sahaja dia keluar dahulu. Dalam hatiku, hanya terdetik perkataan ‘sombong’ untuk pelajar itu.

Aku berjalan sambil mataku mencari-cari kerusi kosong. Tiba-tiba bahuku dicuit. 

“Fi. Selamat datang ke UiTM!!!” sapa satu suara yang amat kukenali. Abang Tarmizi berada di hadapan aku. Abang Tarmizi merupakan pelajar senior semasa aku di sekolah menengah. Keluarga kami mengenali di antara satu sama lain. Jurang umur kami sebanyak tiga tahun membataskan pergaulan kami. 

“Eh, Abang Mizi. Terima kasih. Abang Mizi akan jadi faci ke nanti?” tanya aku walaupun aku sudah melihat kad yang bertulis ‘facilitator’ di dadanya. 

“Ya. Siapa hantar Fi petang tadi?” tanya abang Tarmizi pula kepada aku. Kami terus berbalas soalan dan jawapan, kerana agak lama juga kami tidak bertemu. Semasa di sekolah menengah, aku mempunyai sedikit perasaan terhadap abang Tarmizi. Dalam erti kata lain, crush. Tetapi aku sedar, aku dengan abang Tarmizi ibarat langit dengan bumi. Abang Tarmizi terkenal di sekolah menengah ekoran ketampanan wajahnya. Walaupun ada terdengar desas-desus yang mempersoalkan seksualiti abang Tarmizi, aku sedar antara aku dengan dia, tidak mungkin akan berlaku apa-apa.

***

Selesai sahaja taklimat, aku terus sahaja melangkah ke arah blok yang menempatkan bilikku. Aku begitu lega sekali kerana aku telah berjaya untuk mengenali pelajar-pelajar yang akan menjadi teman sekuliahku nanti. Razi, pelajar lelaki yang berkopiah dan berasal dari Alor Setar, Kedah merupakan seorang yang peramah. Khairul Amin, pelajar dari Pulau Pinang yang sedikit pendiam dan Veronica, gadis dari Sabah yang petah bercakap tetapi agak sukar sedikit untuk aku memahami pelat Sabahnya. Aku tidak sabar-sabar lagi untuk meneruskan pengajian aku di dalam bidang perakaunan di sini.

Semasa berjalan pulang, aku menyedari ada seseorang yang sedang berjalan menuruti belakangku. Aku melihat ke belakang. Pelajar sombong di pintu dewan tadi ada di belakangku. Aku berjalan perlahan untuk memberi peluang kepadanya untuk melintasi aku kerana aku tidak begitu selesa berjalan di hadapan orang lain. Tetapi firasatku salah. Pelajar sombong tadi turut memperlahankan ayunan langkahnya.

“Terkedek-kedek...” Aku terkejut mendengar perkataan yang keluar dari mulut pelajar sombong itu. Adakah dia sedang mengejek aku, kerana aku sudah sedaya upaya cuba untuk memberi ruang untuk dia melintasi aku. Aku hanya mendiamkan diri dan tidak melayan pelajar sombong itu. Tiba-tiba dia melintasi aku sambil berbisik perlahan “Jalan macam itik…”. Aku terkedu seketika. Aku hanya membiarkan dia berlalu pergi. Aku sedar dalam dunia ini, akan sentiasa ada manusia yang bersikap prejudis dan suka menganggu hidup orang lain. Aku cuba memujuk hatiku untuk mempedulikan kata pelajar sombong itu, tetapi aku masih tertanya-tanya apakah salahku terhadap dia. Takkanlah disebabkan kejadian di pintu dewan tadi, dia membuat keputusan untuk menyindir aku.

Aku sampai di hadapan pintu bilikku. Ianya terbuka. Aku tergamam seketika dan terus terfikir adakah bilikku dimasuki pencuri. Aku teringat akan teman sebilikku yang masih belum ku temui. Aku menjengah masuk dan ada seseorang di sebalik pintu almari yang dibuka. Tangannya menguis untuk menutup pintu almari dan aku dapat melihat dengan jelas siapakah gerangannya. Abang Tarmizi ada di hadapanku dan dia tidak memakai baju. Aku terkesima. Adakah ini takdir?.

To be continued…

FI

Tiada ulasan:

Catat Ulasan