Iklan

Selasa, 4 Mac 2014

Forbidden Love - Part 8

Bab 8

Aku berasa sangat rimas. Tidak selesa untuk bergerak. Tidak selesa untuk berpusing. Seolah-olah sedang disekat. Aku membuka mata perlahan-lahan. Katil di sebelah kosong. Tiada kelibat abang Tarmizi. Peristiwa semalam mula muncul perlahan-lahan dalam benak fikiranku. Aku masih di bilik Zain!

Aku lupa apa yang berlaku semalam. Aku hanya teringat yang aku memeluk Zain dengan tujuan untuk memindahkan haba dari tubuhku kepada tubuhnya. Entah bila masa pula aku tertidur. Dan sekarang bukan aku lagi yang memeluk Zain tetapi Zain yang memeluk aku dan pelukannya sungguh erat. 

Aku hanya diam. Bingung dan buntu memikirkan tindakan yang harus diambil. Mungkin juga kaku dengan pelukan tangan Zain yang begitu pejal dengan otot-ototnya. Aku bergerak perlahan-lahan. Tidak mahu Zain tersedar dari tidur kerana ia akan membuatkan situasi ini semakin kekok. 

Aku mengangkat tangan Zain perlahan-lahan. Sedang aku cuba meleraikan pelukan Zain, Zain mengangkat kakinya dan menyilangkannya di kakiku sambil mengeratkan kembali pelukannya. Aku tergamam. Aku bukan lagi manusia tetapi bantal peluk untuk Zain. Memburukkan lagi keadaan, aku dapat merasakan satu tekanan di pinggulku. Satu bonjolan. Ereksi Zain!

xxx

Lima minit berlalu. Dan selama lima minit itu jugalah aku hanya terdiam membisu. Aku nekad. Kami tidak boleh berterusan berada di dalam keadaan begini. 

"Zain, Zain. Aku nak balik ni," ucapku yang masih lagi membelakangi Zain. Posisi ini sungguh menyesakkan aku. 

"Zain, Zain." Aku menguatkan sedikit suara supaya dapat didengari Zain. Zain bergerak. Pelukan Zain mula longgar dan kemudian mengangkat kakinya dari kakiku. 

Aku segera bangun. Tanpa melihat ke belakang aku terus menuju ke meja Zain lalu mengambil kunci bilikku. Dengan pantas aku keluar dari bilik Zain. Tiada perbualan antara kami. Aku tidak mahu situasi ini menjadi lebih kekok. 

xxx

Aku menyimpan kembali baldi kecil yang mengandungi toiletries di tepi katil. Terasa segar tubuh badanku yang sedikit lemah. Tambahan pula, posisi sewaktu tidur malam semalam tidak begitu selesa. Aku masih lagi tidak percaya yang aku boleh tertidur dan berkongsi katil dengan si sombong. 

Abang Tarmizi sudah memulakan rutin senaman hariannya. Nampaknya sekali lagi aku bakal diuji. Setelah 'diserang' oleh Zain aku terpaksa berhadapan dengan tubuh sasa abang Tarmizi pula. Aku sendiri tidak faham bagaimana abang Tarmizi dan Zain boleh menjaga bentuk tubuh badan mereka yang kelihatan sungguh tegap. 

"Fi tidur kat mana semalam?" tanya abang Tarmizi sambil melakukan sit-up

"Bilik kawan. Roommate dia balik kampung. So Fi temankan lah dia," jawabku sambil menyidai tuala di tingkap. 

"Habis tu, abang ni tak perlukan teman ke?" soalnya kembali sambil tersenyum. 

"Kawan Fi tu demam. Itu yang Fi kena teman dia. Abang sihat walafiat je nampak." Aku membalas senyuman abang Tarmizi. Aku cuba untuk kembali ke katilku tetapi abang Tarmizi menarik tanganku. 

"Cuba rasa. Abang pun demam juga. Panas ni." Abang Tarmizi menarik tanganku dan cuba untuk meletakkannya di kepala. Aku gagal untuk mengimbangi tubuhku tetapi nasibku baik kerana sempat disambut oleh abang Tarmizi. 

"Eh! Abang tarik slow je dah jatuh. Ni kena exercise lagi ni." Abang Tarmizi tergelak melihatku yang jatuh di atas ribanya. 

"Fi terkejut lah. Tak expect abang nak tarik tangan Fi. Tak pasal-pasal dah jatuh atas abang. Sakit tak?" tanyaku yang juga sedang menahan gelak. 

"Sakitlah juga. Tetapi tak apa. Abang tak kisah kalau Fi yang jatuh atas abang. Jatuh hari-hari pun okay." Abang Tarmizi hanya tersenyum kepadaku. Tangannya tiba-tiba memegang mukaku. Dia membelai-belai wajahku sambil melihat ke arahku dengan pandangan mata yang penuh romantik. Dia menyentuh mataku dan aku hanya mampu tunduk. 

"Tahi mata ada lagi. Tak basuh muka dengan elok ni," usik abang Tarmizi. Aku cepat-cepat mengesat mata dengan jari. 

"Mana ada!" Aku lega kerana suasana kembali bertukar dengan usikan dari abang Tarmizi. Aku tidak sanggup lagi berhadapan dengan pandangan romantik daripada abang Tarmizi kerana aku yakin, aku akan tewas. 

xxx

Sudah dua hari aku berjaya mengelakkan diri dari bertembung dengan Zain. Semalam bila terserempak dengan Zain di muka pintu tandas, aku cepat-cepat berpaling dan kembali ke bilik semula. 

Tetapi nampaknya, misi aku untuk mengelakkan diri dari Zain akan gagal jua kerana Veronica baru sahaja melambaikan tangan dan memanggil Safuan dan Zain ke meja kami. 

"Dah habis kelas ke?" tanya Safuan kepada Veronica. Aku cuba mengelakkan diri dari memandang Zain. Tetapi bau minyak wanginya mengingatkan aku pada saat kami sedang berpelukan. 

"Cancel. Jam 2 pulak," jawab Veronica sambil tersenyum melihat ke arah teman lelakinya. 

"Oh ya! Fi, terima kasih hari tu jaga Zain. Cepat je Zain sembuh dari demam. Hebat servis kau," ujar Safuan. 

Aku yang sedang meminum air dari botol, tersedak mendengar perkataan 'servis' dari Safuan. Bajuku sedikit basah. 

"Fi!!! Okay ke. Kejap aku cari tisu." Veronica membuka beg tangannya. 

"It's okay. Aku pergi toilet jap." Aku menggunakan kesempatan ini untuk melarikan diri dari Zain. 

Aku menuju ke tandas yang berdekatan. Berasa sedikit lega kerana dapat lari dari Zain buat seketika. Kenapa hatiku berdebar-debar sangat bila ternampak Zain. Apa yang sudah berlaku pada aku?

Pintu tandas terbuka. Zain masuk ke dalam tandas. Matanya melilau-lilau mencari sesuatu. Mungkin cuba memastikan tiada orang lain di dalam tandas selain kami berdua. 

"Apa masalah kau ni? Aku nampak kau macam cuba lari dari aku jer? Aku ada buat salah ke?" tanya Zain sambil merenung tajam ke arahku. 

"Mana ada," dalihku sambil membuka paip sinki. 

"Tak payah tipu. Cuba cerita. Apa masalah kau nak lari-lari dari aku ni. Malam tu bukan main happy lagi kau jaga aku. Macam dah jadi bini aku dah," tambah Zain lagi. 

"Bini? Dahlah orang tolong. Tak ucap terima kasih pula." Aku menjeling tajam ke arah Zain sambil kembali mengelap bajuku. 

"Oh sebab tak ucap terima kasih ke, kau marah kat aku ni. Okay. Terima kasih. Terima kasih sebab jaga aku. Terima kasih sebab beli makanan kat aku. Terima kasih sebab potong ubat. Terima kasih sebab tuamkan badan aku. Ada lagi?" tanya Zain. 

Aku menggelengkan kepala.

"Satu lagi, aku gurau je panggil kau bini aku tadi. Tak ingin aku berbinikan jantan macam kau," ujar Zain lagi. 

"Habis tu, kau ingat aku lapar sangat nak jadi bini kau?" balasku kembali. 

"Of course. Aku ni, gred A. Lima bintang lagi," lagak Zain sambil tersenyum sinis. 

"Dahlah sombong. Bongkak pula. Nak makan panadol pun fail." Aku bergegas keluar dari tandas. 

"Kejap!" Zain mengekori aku dari belakang. 

"Kau jangan nak bagi tahu sesiapa pasal ubat tu. Siap kau kalau Razi atau V atau siapa-siapa je tahu pasal ni. Aku bagi tahu dia orang yang kau ambil kesempatan kat aku pada malam tu." kata Zain kepadaku. 

Aku memandang Zain dengan tajam sambil mempercepatkan langkahku. Sampai sahaja di meja kami, aku terus duduk. Safuan sudah tiada. Mungkin sudah pergi ke kelas. 

"Okay. Aku ada kelas Puan Salmah sekejap lagi. Korang dah dapat ke tugasan apa yang kena buat?" tanya Zain kepada kami berdua. 

"Belum. Tapi Puan Salmah ada cakap pasal grouping. Dia nak setiap group mesti ada dua pelajar dari kelas aku dan dua pelajar lagi dari kelas kau. Dia tak nak berpuak-puak ni." jawabku. 

"Aku lepak bilik Yaya, budak kelas kau semalam. Kami plan nak kita semua dalam satu group. Aku dengan Fi dan kau dengan Yaya. Okay tak?" ujar Veronica. Aku sedikit terkejut dengan cadangan daripada Veronica. Kalau boleh aku ingin mengelakkan diri daripada berada di dalam satu kumpulan bersama Zain. 

"Aku okay je. Apa-apa kita bincang nanti. Aku nak pergi kelas." Zain mengangkat beg sandangnya sambil berlalu pergi dari situ. Veronica memandang ke arahku. 

"Kenapa?" tanyaku.

"What's going on? Kau nampak pelik sangat. Ada apa-apa yang berlaku ke antara kau dan Zain malam tu?" tanya Veronica. 

"Tak ada lah. Kami okay jer. Aku pening kepala sikit. Tak ada mood." Aku cuba mencari alasan yang sesuai. Belum sampai masanya lagi untuk aku menceritakan perkara yang sebenar kepada Veronica. 

"Bila kau pergi toilet tadi, Zain terus ikut belakang kau. Dia macam marah sudah. Macam couple pula korang. Hehe." usik Veronica. 

"Mengarutlah kau V. Dah jom sambung balik discussion. Nanti kau nak dating pula petang ni." Aku mengeluarkan buku rujukan. Couple? Aku & Zain. Tak mungkin!

xxx

Aku menguatkan volume lagu "Up in the Air" dendangan band kegemaranku, Thirty Seconds to Mars. Kebelakangan ini agak tertekan dengan masalah pelajaran. Ada beberapa topik yang masih belum dapat aku kuasai lagi. 

Pintu bilikku dibuka. Abang Tarmizi selalu pulang lewat sejak kebelakangan ini. Mungkin sibuk membuat persediaan untuk menghadapi ujian pertengahan semester. Aku memperlahankan volume

"Fi, abang bawa balik hadiah untuk Fi ni." Abang Tarmizi meletakkan sesuatu di atas mejaku. Melihat kotaknya sahaja, aku sudah dapat meneka apa yang ada di dalamnya. Kek coklat. 

Abang Tarmizi masih ingat lagi rupanya kejadian yang berlaku antara kami. Aku masih ingat lagi peristiwa yang berlaku semasa aku di tingkatan satu. Aku baru sahaja membeli sepotong kek coklat. Tetapi malangnya, kek yang baru dibeli itu, jatuh ekoran kecuaian diriku sendiri. Tetapi abang Tarmizi yang melihat kejadian itu telah membelikan kek coklat yang baru untukku bagi menggantikan kek yang sudah jatuh itu. Sejak dari hari itu, aku sudah jatuh hati kepada abang Tarmizi. 

Tanpa diduga air mataku menitis. Terharu apabila mengenangkan kebaikan abang Tarmizi kepadaku suatu masa dahulu. Dia pernah menyelamatkan aku dari menjadi mangsa buli dan dia juga pernah menolongku untuk mendapatkan kembali telefon bimbit yang dirampas oleh pengawas sekolah. Begitu banyak jasa abang Tarmizi kepadaku. 

Aku cepat-cepat mengelap air mataku. Tidak mahu abang Tarmizi melihatku yang sedang menangis. Tetapi aku terlambat. Abang Tarmizi sudah mengeluarkan sapu tangannya dan mengelap air mataku. 

"Kenapa ni?" tanya abang Tarmizi. Mungkin sedikit hairan melihatku tiba-tiba menangis. 

"Takdelah. Fi terharu dengan kebaikan abang jer. Teringat balik apa yang abang pernah tolong Fi dulu." Aku cuba untuk mengawal emosi. Mungkin juga aku terlampau rindukan ayah dan ibuku. Sudah hampir 3 bulan kami tidak berjumpa. 

"Abang ikhlas. Dah jangan nangis. Buruklah lelaki nangis," pujuk abang Tarmizi sambil menarik kerusi dari mejanya untuk duduk berhadapan denganku. 

"Fi, antara orang yang istimewa sangat dalam hidup abang. Abang ada banyak kawan tapi Fi lain. So bila jumpa balik Fi kat sini, abang gembira sangat," tutur abang Tarmizi. Tiba-tiba dia memegang tanganku. 

"Fi, abang nak berterus terang je dengan Fi. Abang suka Fi. Fi mungkin anggap abang macam kawan atau mungkin sebagai seorang abang jer. Tapi abang suka Fi lebih dari seorang kawan mahupun adik," sambung abang Tarmizi lagi. 

Aku hanya terdiam membisu. Tidak tahu bagaimana untuk membalas kembali luahan hati abang Tarmizi. 

"It's okay. Abang faham. Mungkin abang hanya bertepuk sebelah tangan saja. Abang hormat keputusan Fi. Abang cuma dah tak boleh nak sorok lagi perasaan abang." Abang Tarmizi melepaskan pegangan tangannya. 

Aku nekad. Saat abang Tarmizi bangun dari kerusi, aku turut bangun. Abang Tarmizi memandangku kehairanan. Tanpa berfikir panjang, aku terus mencium abang Tarmizi dengan sepenuh perasaaan. 

To be continued

F.I

3 ulasan:

  1. Dude!this story becme owsome.plz released next capther asap!

    BalasPadam
  2. Best sgt..please go on..

    BalasPadam